Sabtu, 21 Ogos 2010

Cara-cara Memupuk Semangat Patriotik Dikalangan Masyarakat


Patriotisme seringkali dikaitkan dengan kesetiaan dan kecintaan seseorang terhadap negaranya sendiri. Seseorang itu dianggap patriot apabila tindakan dan amalannya menepati ciri–ciri patriotisme yang berteraskan kecintaan dan kesetiaan kepada negara. Di dalam dunia globalisasi dan ledakan era teknologi maklumat, semangat patriotisme amat penting sekali. Di atas kepentingan patriotisme, Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah mengingatkan, “tanpa semangat ini, kita tidak boleh yakin kita dapat bertahan, kita dapat kekalkan hak kita. Kemungkinannya ialah kita akan tinggal nama dalam sejarah saja”. Dalam usaha untuk menanam dan memupuk semangat patriotisme, elemen sejarah merupakan antara medium yang boleh digunakan untuk menerapkan semangat tersebut. Dalam episod sejarah hidup Sun Tzu, selain soal strategi perang, ada dua hal yang perlu kita titikberatkan. Pertamanya adalah soal patriotisme atau kecintaan terhadap rakyat dan negara dan keduanya tentang pengorbanan. Sun Tzu amat menekankan semangat patriotisme dan pergorbanan keranan dua elemen inilah yang paling penting jika ingin mempertahankan kedaulatan negara.
 
 Makna patriotisme tidak berubah, iaitu cinta yang kental dan kekal terhadap bangsa dan negara Malaysia. Tetapi fokus atau bentuk patriotisme mungkin berubah mengikut masa dan keadaan. Bagi generasi yang melalui pengalaman yang berbeza, fokus patriotismenya mungkin juga berbeza, walau pada hakikatnya ia tetap berpaksi pada makna yang sama. Bagi generasi pra-merdeka, fokus patriotismenya ialah memperjuangkan kemerdekaan. Selepas itu, fokus patriotismenya ialah mengisi kemerdekaan. Bagi yang melalui zaman konfrontasi, fokusnya ialah mempertahankan kedaulatan Malaysia yang baru dibentuk. Bagi yang mengalami tragedi 13 Mei 1969, fokusnya ialah meningkatkan perpaduan rakyat manakala pada masa kegawatan ekonomi pula, fokusnya ialah mempertahankan kedaulatan ekonomi negara.
 
 Semangat patriotisme rakyat terutama generasi pasca merdeka perlu sentiasa dipertingkatkan melalui pelbagai program yang menjurus ke arah itu. Kita perlu menerima hakikat, manusia seringkali mudah lupa untuk melihat kembali sejarah. Sebab itu, semakin lama usia kemerdekaan negara, semakin mudah rakyat khususnya generasi selepas era tersebut lupa akan pentingnya semangat patriotisme ini meskipun dari segi fizikalnya kita telah bebas dari penjajahan. Yang jelas, masyarakat hari ini sudah berada dalam zon selesa, makmur dan bebas melakukan apa sahaja. Lantas, ancaman seperti pengaruh budaya liar menyusup masuk ke dalam jiwa tanpa disedari.



 Justeru itu, sama-samalah kita mengubah sikap dan kembali ke landasan sebenar supaya tidak terus hanyut dan leka dengan keselesaan yang dinikmati hari ini. Masyarakat patriotik adalah masyarakat yang anggotanya bertatasusila luhur, berdaya maju, melindungi dan mematuhi serta memelihara undang-undang dan peraturan. Untuk membentuk masyarakat madani, pemupukan nilai-nilai murni menerusi pendidikan dan tarbiyah secara berkesan penting kerana pembangunan material serta kepesatan perkembangan ekonomi semata-mata belum tentu menjanjikan terbinanya masyarakat yang bermoral.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan